Wednesday, November 10, 2010

Dia Yang Kental...



Sebelas bulan dahulu, tepatnya 29 Disember 2009. Waktu tu minggu orientasi dan kami menerima 61 orang adik-adik yang baru.. Walaupun pada kaca mata aku semua adik-adik lelaki ini sama, tapi pada mereka terdapat sedikit perbezaan. Kerana mereka masih belum biasa dengan percampuran kaum dan budaya. Adik-adik berbangsa India lebih senang dengan kelompok mereka dan adik-adik berbagsa Cina lebih selesa dengan geng mereka.. (soo boleh tahu kan kat mana kedudukan adik-adik yang berbangsa Melayu..) Dalam ramai-ramai ni aku perasan ada seorang adik yang duduk sorang diri.. cukup susah untuk dia berada dalam kumpulan. Sering menjauhkan diri terutamanya aktiviti dalam kumpulan.. Sukup sukar untuk berkomunikasi dengan dia.. Maybe language barrier yang ada menyebabkan dia lebih senang untuk tidak bersuara (adik yang sorang ni berbangsa Cina). Aku cuba untuk tarik perhatian dia.. Tapi failed..



Jing Wang pada minggu pertama di asrama. Dia buat tak tau aje orang buat aktiviti..

Kuat perasaan aku mengatakan, dia ni adalah orang yang pertama yang akan pull out dari program ini.. Berbanding dengan kawan-kawan yang sebangsa dengan dia, aku nampak dia ni kasar sikit dan agak sukar untuk bergaul.. (even dengan kawan-kawan yang sebangsa dengan dia..) Dia ni keras.. dan sepanjang dua-tiga bulan pertama aku tak pernah nampak dia menangis, (dan sepanjang tempoh tu dah hampir separuh pelajar sebangsa dengan dia menarik diri dari program ini.. ) Hinggalah satu ketika bila semua pelajar sebangsa dengannya menarik diri.. Tinggal dia seorang.. Pada asalnya aku nampak dia kekok bila tinggal seorang.. Dia seperti takut.. Tapi aku nampak dia kuatkan diri.. Bukan sekali dua aku nampak dia menangis sorang-sorang sebab dia rasa keseorangan.. Tapi aku tahu dia gagahkan jugak.. (walaupun pernah mnangis meraung-raung nak balik sebab aku tak bagi pergi birthday rumah kawan dia).

Satu hari aku diberitahu dia balik dari sekolah teresak-esak menangis.. Aku pun cari.. Akhirnya aku jumpa dia menangis dalam dorm. Aku tanya kenapa, dia tak jawab.. Aku biarkan dia redakan tangisan dia.. Dua-tiga hari lepas tu.. baru aku tanya dia kenapa menangis.. Dia kata dia rindu nak balik rumah.. Teringat dengan kawan-kawan lama.. Aku tanya lagi, sekarang dah tak teringat ke dengan kawan kawan lama dan rumah. Dia kata, dia ingat.. cuma mak dia dah pesan supaya belajar dan teruskan untuk duduk di asrama walau apa terjadi. Dia kata dia sedar kawasan tempat dia duduk tu tak elok untuk dia.. Susah untuk belajar di kawasan tu. Jadi dia kata dia tetap nak duduk sini dan akan lawan perasaan tu.

Dan sekarang tinggal dia seorang sahaja berbangsa Cina disini. Boleh bergaul dengan baik, bertutur dalam bahasa melayu dengan baik dan tak pernah lagi complain dengan masakan pedas.. (lauk kesukaan dia adalah ikan masak lemak.. dengan kuah-kuah dia hirup..) Dan apa yang amat menarik perhatian aku adalah.. bila malam semalam aku nampak dia main batu seremban dengan kawan-kawan lain.. dan yang pastinya kawan-kawan yang lain tu sebangsa dengan aku..


Tengah main batu seremban dengan kengkawan...

Aku melihat satu contoh kekuatan dan perpaduan yang dibawa oleh Jing Wang.. Dia tetap teruskan walaupun dia boleh pilih untuk balik dan duduk dengan keluarga dia..

Untuk Jing Wang; Kalau satu masa nanti Jing Wang terbaca coretan abang ni di mana-mana, abang nak Jing Wang tahu yang abang cukup bangga dengan semangat Jing Wang. Teruskan usaha walau tinggal kita seorang yang berada dalam sesuatu keadaan tu. Kalau kita percaya yang usaha kita itu betul, teruskan.. Semangat juang yang cukup tinggi tu kekalkan sampai bila-bila..

Monday, October 18, 2010

Kita dan Pak Pandir

Hatta, berkatalah Mak Andeh kepada Pak Pandir, sekarang jerangkan air keapi. Setelah panas suam-suam kuku mandikanlah anakku ini. Aku hendak pergi mencari ubat budak ini.

Maka kata Pak Pandir, baiklah Andeh. Maka Mak Andeh pun pergilah mencari daun genggayang membuat pupuk anaknya kepala anaknya itu. Sepeninggalan Mak Andeh pergi itu, Pak Pandir pun melekat api menjerangkan air di dalam kawah. Ada seketika air itu pun panaslah serta menggelegak sedang gelora. Maka diambilnya anaknya itu, di masaukkannya kedalam kawah itu, lalu matilah menyeringai gusinya serta menggelupas kulitnya. Maka kata Pak Pandir, Amboi sukanya anakku mandi air panas rupanya.

Kemudian lalu diangkatnya budak itu dari dalam kawah, di timang seraya berkata hai suka sangat anakku mandi. Mandilah lagi. Serta di masukkannya pula kedalam kawah itu.

Maka seketika lagi Mak Andeh pun baliklah membawa daun gengganyang akan ubat anaknya, langsung naik kerumah mendapatkan anaknya. Maka dilihatnya tiada anaknya di tempat tidurnya itu. Maka Mak Andeh pun meneriakkan Pak Pandir seraya berkat, kemana perginya anak kita di sini? Maka sahut Pak Pandir, ini bukankah dia, sedang ku mandikan. Cuba juga lihat, terlalu suka dia Andeh.

Maka Mak Andeh pun segeralah pergi kedapur melihat anaknya itu. Terpandanglah si anak itu telah terjeringing di dalam kawah yang sedang mendidih airnya dengan gelora sangat itu. Maka Mak Andeh pun mengucap, demikian katanya, Astaghfirullah! Apa mulanya Pak Pandir demikian? Cheh, Pak Pandir sial bedebah tak mahu ditangkap harimau panjang tujuh, buaya panjang sembilan, supaya bangat matinya. Adakah patut air yang seperti ini panasnya itu dicelurkan kanak-kanak! Amboi, gunung payung, intan gemala, urat rambut batu kepala emak, matilah anakku! Sampainya hati bapamu membunuh akan dikau.

Maka berbagai-bagailah bunyi ratap tangis Mak Andeh, lalu dipalunya akan Pak Pandir serta ia mengambil anaknya. Demi didengar oleh Pak Pandir akan kata Mak Andeh anaknya sudah mati itu, barulah ia menangis serta menghempaskan kepalanya pada segenap bendul dan tiang rumah itu, sepertikan gila lakunya hingga mendatangkan ketakutan pula kepada Mak Andeh melihatkan kelakuan Pak Pandir itu, kalau-kalau ia mengamuk pula. Maka Mak Andeh pun berkata, janganlah Pak Pandir tersangat risaukan kematian anak kita ini. Baiklah awak pergi tanamkan budak ini, balutkan dengan belat ini dahulu, kemudian tanamkan.

Setelah Pak Pandir mendengar perkataan Mak Andeh itu, maka ia pun pergilah membalut anaknya itu dengan belat lalu dipikulnya, dibawa ketempat perkuburan.

Arakian, telah sampai separuh jalan anaknya itu pun terjatuhlah dari dalam gulungan belat itu, tiada di ketahui oleh Pak Pandir. Setelah sampai ke kubur, ia pun mengorek liang lalu ditanamkannya belat segulung itu tiada dengan periksanya lagi, lalu ditimbusnya. Kemudian ia pun berjalan pulang. Apabila ia sampai separuh jalan maka bertemulah ia dengan mayat anaknya yang tertinggal tadi. Maka apabila di lihat oleh Pak Pandir akan mayat itu, maka ia pun berfikir dihatinya, Hai bukanlah aku seorang sahaja yang kematian anak ini, ada pula orang lain yang mati anaknya juga. Serupalah nasibnya dengan untungku ini.

Maka ditatapi pula oleh Pak Pandir rupa mayat itu, betul-betul serupa dengan anaknya daripada muka, hidung sifat tubuhnya sekali dan perempuan juga. Maka dengan sesaat itu hilanglah dukacitanya lalu segeralah berlari pulang. Serta sampai ke halaman tangganya ia pun berseru akan perempuannya, katanya, Andeh, Andeh! Bukannya kita sahaja yang mati anak rupanya, orang lain pun ada juga yang mati anaknya, perempuan juga dan rupanya pun semacam betul-betul dengan anak kita.

Maka sahut Mak Andeh, agaknya kalau-kalau anak kita juga tercicir ditengah jalan dari dalam belat itu kalau awak tidak sedar.

Maka kata Pak Pandir, tidak Andeh. Aku rasa berat yang aku tanamkan tadi. Maka sahut Mak Andeh baiklah, moh kita lihat pula. Kata Pak Pandir, mohlah, Andeh aku tunjukkan. Maka kedua-duanya pun pergilah bersama-sama berjalan. Tiada berapa antaranya sampailah kepada mayat anaknya itu. Maka kata Pak Pandir kepada Mak Andeh, inilah dia anak orang yang mati itu. Bukankah serupa dengan anak kita, Andeh.

Telah dilihat oleh Mak Andeh, dikenalnyalah akan anaknya. Maka Mak Andeh pun marahlah dengan sumpah seranahnya akan Pak Pandir, lalu diambilnya seraya didukung mayat kanak-kanak itu serta di suruhnya Pak Pandir mengorek belat yang ditanamkan itu. Lalu di balutkan anaknya, ditanam semula. Setelah sudah keduanya pun pulanglah kerumah dengan dukacitanya hingga malam hari tiadalah tidur Pak Pandir laki isteri.

Jadi; apa kaitannya pulak kita ngan Pak Pandir?... Ramai orang kita ni sekarang dah jadi Pak Pandir.. (walaupun sorang pompuan..) Kekadang tak sedar pilihan kita untuk anak tu sebenarnya 'membunuh' anak kita sendiri. Kita lebih syok menangis berguling-guling sebab anak tak dapat masuk Akademi Fan*@$!@ dan O!@m. Tapi kalau anak baca Quran merangkak boleh pulak bagi alasan, biarla orang lain yang jadi Ustaz,.. anak aku nak jadi artis.. Pastu.. belajar pun tak tinggi mana sebab sibuk kejar anak nak jadi artis.. Tu pun tak sedar lagi.. Dah tak boleh kemana, (sesetengahnya plak dah ada 'ayah gula' yang sponsor) pastu trus lupa mak ayah.. Masa tu la mak ayah hantuk kepala ke tombol pintu.. Terlambat dah kut... Ingat-ingat la.. Jangan jadi macam Pak Pandir...

(Thanks to http://www.ashtech.com.my/)

Tuesday, October 12, 2010

Kesiannya...

Tepat jam 8.00 pagi, aku terima satu panggilan dari sekolah.. "Ni... apasal anak angkat yang sorang ni tak pakai kasut pi sekolah".. Aku yang tengah 'besolek' nak pi kerja terus tergamam.. Pasal apa plak tak pakai kasut?? Rasanya baru aje semalam aku nampak dia pakai kasut sekolah lengkap. Buat lagi dah anak yang sorang ni.. Setelah menyelesaikan segala masalah ni aku terus termenung mengingatkan anak angkat yang sorang ni..

Dia pelajar pandai, sayangnya permasalahan keluarganya telah menganggu tumpuan dia untuk 'concentrate' dalam belajar. Mak ayah dia dah bercerai, dan kekangan kerja dan jarak membuatkan mak dia agak susah nak jumpa dia selalu. Dan aku maklum dia merupakan anak yang paling manja walaupun ada adik yang lain. Aku tak nafikan juga kekadang gangguan emosi dia melampau.. Sering mengamuk dan kacau anak-anak yang lain. Sampai dua-tiga orang pembantu anak-anak ni dah surrender ngan dia.. Tapi demi tanggungjawab, masing-masing teruskan jugak untuk support dia. Dia cukup rapat dengan sorang pembantu perempuan kat sini. Aku ingat satu masa tu bila pembantu aku ni demam, so tak datang kerja. Anak ni punyalah pulun telefon kakak dia ni, nak tanya kenapa tak datang kerja. Orang demam bila dah tido memang la tak dengar apa-apa.. berbelas jugak la miss call yang dia buat.. Kalau pembantu aku ni balik kerja pulak, dia akan perhatikan sampai la kereta kakak ni hilang dari pandangan.. Setiap hari dia akan buat benda yang sama..

Kesimpulan aku satu aje.. Dia perlukan perhatian.. Sangat-sangat perlukan perhatian. Aku ingat lagi apabila satu hari dia cari kakak yang rapat dengan dia tu. Dia tanya " Kakak mana?" so pembantu aku yang lain jawab, "Kakak tak kerja hari ni, kenapa adik tanya?", dia jawab "Kami takut kakak hilang" (dia selesa membahasakan dirinya 'kami'). Pastinya dia mengalami satu kenangan pahit yang hampir serupa dengan ini.. Kehilangan seseorang yang dia sayang dan percaya.. Setiap kali teringat peristiwa ni aku jadi sebak dan semangat nak bantu dia tu memuncak-muncak. Walau macamanapun aku perlukan nasihat yang betul dan tepat dari seorang yang pakar dengan emosi kanak-kanak ni..

Kami semua di sini memang memberikan perhatian kepada dia dan membantu semampunya. Aku sedar semua staff aku nak dia jadi seorang yang berguna, sebab potensi yang ada dalam dirinya sangat besar.. Cuma ketidak stabilan emosi dia akan mengganggu dirinya. (btul ke bahasa aku nih..)

Apapun, seberat mana dan sebesar mana dugaan yang datang kami akan terus memberikan yang terbaik pada semua anak jagaan kami..

Good Work Guys.. Only God will repay what you have done to all the kids...

Monday, October 11, 2010

Cerita pasal berkias...


Salah sorang staff aku datang mengadu hari ni.. "Dia terasa difitnah dan telah jadi konflik antara dia dan kontraktor yang bertugas di pejabat aku. Si pembawa cerita tak datang pulak hari ni.." Aku cuma tersenyum dalam hati.. Rupanya ada staff aku yang tak faham bahasa kiasan aku masa dalam meeting, bila aku ceritakan masalah dalaman jangan ceritakan pada orang lain.. Perkara yang aku rasakan boleh diselesaikan macam menarik rambut dalam tepung dah jadi kelam kabut.. Tunggang langgang..

Aku dulu diajar untuk sentiasa berlapis dan berlapik bila bercakap terutamanya ngan orang yang lagi tua.. Dan perangai tu terbawak-bawak sampai sekarang.. Tu la sebabnya bila dalam meeting dan nak tegur staff, aku akan cakap secara berlapik.. Rupanya dia tak faham.. Aku ingat budak-budak sekolah aje yang tak faham jika kita cakap berlapik.. Yang dah berkurun tinggal sekolah pon tak faham jugak..

Atau pun bila meeting nak kena cakap straight aje.. "Nyeruntul" kata orang jawa.. Main tonjol aje.. Maka hilang la salah satu 'Art' orang Melayu dalam bercakap.. Rugi aje abah aku pesan selalu.. "kalau bercakap, tak kira dengan orang atasan atau bawahan kena yang elok-elok, cakap lembut dan berlapik kalau nak tegur staff, biar dia tahu kesilapan dia tanpa rasa sakit hati.."

Walau tunggang langgang macam mana pon, aku kena selesaikan jugak kan?? Aku dah nak jadi mcm Hulk dah nih.. Kalau le jadik Hulk.. setiap masalah boleh diselesaikan dengan 'smash' aje everything kan best.. Soo.. takkan ada orang yang akan berani buat lagi masalah.. Eh.. Merepek jauh dah aku nih... hehehehehehe...

En Hulk sedang 'menyelesaikan' masalah... hehehehehe..


Wednesday, October 6, 2010

Sebatang Pohon...

Abah pernah pesan.. Jika satu masa nanti berada di satu tempat yang selesa.. Jadilah seperti pohon.. Rendang dan rimbun.. Biar semua orang boleh berteduh.. Kalau jadi akar.. Jadilah akar yang mencengkam bumi.. Kukuh dan memberi sokongan pada dahan dan daun.. Cengkam sekukuh-kukuhnya, biar segala ribut dan taufan datang melanda.. Kita tetap gagah berdiri.



Kalau jadi dahan.. Jadilah dahan yang ampuh.. Biar dapat menyokong daun dan membantu akar.. Menjulurlah setinggi mungkin.. Biar mudah daun untuk mencapai cahaya mentari.. Kalau jadi daun, jadilah daun yang bersungguh-sungguh menciptakan makanan pada sang pokok.. Kerana daun yang baik akan membantu pokok untuk terus kekal hidup.. Jadilah serendang mungkin, biar orang boleh tumpang berteduh. Biar burung boleh buat sarang.

Seriously 15 tahun dulu aku tak faham langsung apa yang abah cakapkan. Tapi pesanan tu masih terpahat kuat dalam kepala otak aku ni..

Sampailah ketika ini.. Aku faham apa yang abah katakan.. Rupanya abah pesan; kalau satu masa nanti berada dalam masyarakat atau dalam satu organisasi, Jadilah individu yang membantu dan 'support' antara satu sama lain. Ibarat yang abah bawakan adalah pokok.. Selain kita berdiri untuk 'support' kawan sekerja.. Pastikan juga ada orang lain yang boleh mendapat menafaat dari kita. Pastikan kita boleh bantu orang lain.. Tuhan tempatkan kita kat di situ sebab Dia tahu kita boleh melakukan sesuatu terhadap diri kita dan orang lain.. Dalam sungguh kata-kata abah.. (Semoga abah diberkati dengan kesihatan dan kesejahteraan sepanjang hidupnya.. Thanks Abah..)

Satu Salam dan Satu Perkenalan....

Salam....

Terima kasih kerana sudi meminjamkan mata dan hati bagi menatap blog ni.. Aku dah lama kepingin untuk nak ada blog sendiri dan jadi salah seorang dari ahli komuniti blogger.. Tapi kekangan tugas selalu membataskan.. Blog ini aku namakan "Taman Nurani".. Satu taman yang aku sediakan untuk kawan-kawan berkongsi pengalaman aku dalam kehidupan seharian.. Terutamanya tugasan aku yang begitu rapat dengan anak-anak yang amat dahagakan pembangunan dari segi akademik dan sahsiah.. Aku membantu mereka mendapatkan hidup, tanpa aku sedari mereka dah jadi sebahagian dari hidup aku.. Aku cuba membatu memberikan pelajaran tanpa aku sedari terlalu banyak yang aku pelajari dari mereka.. Inilah "Taman Nurani" bagi aku dan semua rakan di sini.. Inilah perjuangan yang terbentang di depan mata aku dan rakan-rakan seangkatan.. Pinjamkanlah mata dan hati untuk sama berkongsi apa yang kami alami..

Selamat Datang Ke Taman Nurani..